PEKAN: Sambutan orang ramai terhadap pakej umrah ditawarkan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) pada tahun ini begitu memberangsangkan apabila hampir 24,000 jemaah sudah mendaftar dengan syarikat berkenaan bagi mengerjakan ibadah tersebut.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, dengan sambutan memberangsangkan dan trend semasa, beliau yakin sasaran 70,000 jemaah umrah syarikat itu mampu dicapai dalam tahun 1445 Hijrah ini.
“Alhamdulillah tahun ini, sekarang baru 11 Muharram kita sudah cecah hampir 24,000 jemaah dan tahun ini kita sasarkan 70,000 jemaah.
“Jadi, Program Asnaf Jelajah Kasih 4.0 adalah tanda kami bersyukur dengan apa diperolehi, Allah SWT permudahkan segalanya dan kami permudahkan untuk asnaf,” katanya pada majlis Pelancaran Program Asnaf Jelajah Kasih 4.0 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 80 asnaf dari seluruh negeri menerima tajaan mengerjakan umrah oleh Andalusia dengan kerjasama kerajaan negeri.
Menurut Ida Riswana, pada masa ini, pihak Andalusia menawarkan pakej umrah dengan harga berpatutan bermula serendah RM6,990.
Katanya, pihaknya memberi jaminan setiap pakej ditawarkan adalah terjamin dan pengguna tidak perlu risau sebarang penipuan.
Mengulas sambutan orang ramai terhadap pakej ditawarkan Andalusia beliau berkata, reputasi syarikat itu termasuk dengan kumpulan petugas yang lengkap membuatkan ia memberi keyakinan orang ramai.
“Mungkin melalui pengalaman dan apa perolehi daripada orang yang pernah pergi sebelum ini dan Andalusia mempunyai satu kumpulan petugas-petugas yang lengkap.
“Jadi ia terjamin, mereka tahu insya-Allah tidak tertipu mereka tahu Andalusia sediakan tiket dan bilik penginapan dahulu, sudah ada baru kita jual,” ujarnya.-UTUSAN