MUKADIMAH
CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang, AHMAD ZAKI SHAH SHAH HEADAN, 34, mungkin muka baharu dalam politik selain masih muda.
Namun anak jati Balik Pulau ini sudah dikenali kerana sering mengikuti program politik bersama bapanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI, beliau berkongsi misi dan visinya sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini serta menjawab persoalan mengenai isu legasi politik yang hangat dikaitkan dengan beliau.
Bagaimana penerimaan pengundi setakat tempoh berkempen PRN ini?
AHMAD ZAKI SHAH SHAH HEADAN: Kempen yang dijalankan setakat ini mendapat sambutan dan sokongan yang positif terutama dengan gabungan jentera daripada Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH).
Gabungan BN-PH menerima sokongan yang positif daripada pengundi pelbagai kaum di DUN Telok Bahang dan juga di Pulau Pinang kerana gabungan ini terdiri daripada parti pelbagai kaum, malah saya juga tidak berdepan kesukaran untuk berkempen di tempat-tempat majoriti pengundi Cina, India dan Melayu setakat ini.
Bagaimana dengan pengundi di atas pagar, apa pendekatan yang diambil untuk mendekati mereka?
Saya menggunakan pendekatan bertemu dan mendengar pandangan dan luahan hati pengundi-pengundi termasuk pengundi atas pagar.
Hubungan komunikasi sepanjang berkempen juga dua hala, saya tidak bertemu pengundi dengan hanya berkata undilah saya. Saya maklumkan kepada pengundi apa yang saya ingin lakukan dan bantu mereka sekiranya terpilih dan biarkan pengundi buat keputusan.
Apa pendekatan kempen yang digunakan setakat ini untuk mendekati pengundi?
Pasukan saya membahagikan pengundi dalam dua kumpulan iaitu bawah 40 tahun dan pengundi melepasi usia 40 tahun.
Pendekatan yang digunakan juga pelbagai, kami menggunakan kempen bersemuka, mengedar risalah, menelefon pengundi dan menggunakan media sosial.
Adakah gelombang Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan bakal melanda PRN kali ini akan menjejaskan peluang calon BN-PH menang?
Setakat ini melalui maklum balas yang diterima daripada pengundi, kita tidak nampak lagi ‘gelombang PN’ ini akan memberi kesan kepada calon BN-PH di Pulau Pinang.
Rakyat juga semakin celik dalam politik dan mereka tahu parti mana yang mampu menjaga kebajikan mereka nanti.
Dalam PRN kali ini, terdapat ramai anak-anak tokoh dan pemimpin politik diletakkan bertanding, apa pandangan saudara?
Sebenarnya pilihan untuk memilih siapa menjadi wakil rakyat ketika PRN ini terletak di tangan rakyat. PRN ini ia berbeza dengan lantikan dalam politik dan ia bukan soal legasi dalam politik.
Bagi saya, kalau seseorang itu anak siapa pun, kalau dia gagal melaksanakan tugas, rakyat tidak akan menyokong dan mengundinya. – UTUSAN











