Amanah adakan mesyuarat khas pilih calon Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram - Utusan Malaysia

Amanah adakan mesyuarat khas pilih calon Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

Aminolhuda Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor akan mengadakan mesyuarat khas untuk menamakan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, bulan depan.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, mesyuarat khas tersebut dijangka diadakan sebelum 10 Ogos ini dan Amanah Bahagian Pulai serta Bakri telah diminta mengemukakan senarai calon mereka.

“Senarai nama itu akan diserahkan kepada kepimpinan Amanah pusat. Calon yang dipilih kelak mestilah dalam kalangan pemimpin masyarakat yang layak sama ada di peringkat kawasan tersebut ataupun negeri. Malah, calon berkenaan juga mestilah berintegriti dan berjiwa rakyat.

“Perkara ini penting kerana calon tersebut akan mewarisi kerusi ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dikenali dengan inisiatif Payung Rahmah sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Aminolhuda yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor turut berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan kepada Amanah di kedua-dua kerusi tersebut.

“Insya-Allah, persiapan jentera parti tiada masalah, malah saya yakin dengan kerjasama menerusi kerajaan perpaduan termasuk dalam kalangan BN, kita akan beroleh kemenangan,” katanya.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian Salahuddin yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN