PETALING JAYA: Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) masih terkawal pagi tadi dan dijangka meningkat luar biasa petang ini.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, setakat pukul 11.30 pagi ini, aliran trafik masih terkawal di semua laluan Lebuhraya Utara-Selatan.
Menurutnya, aliran trafik dijangka meningkat kira-kira pukul 5.30 petang ini berikutan orang ramai sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing sebaik tamat waktu bekerja.
“Kita jangka, aliran trafik di plaza tol utama akan mengalami pertambahan kenderaan mulai petang ini memandangkan orang ramai akan bergerak selepas tamat waktu kerja dan perlu sampai ke destinasi mereka tengah malam ini sebelum keluar bersiap untuk mengundi pagi esok,” katanya di sini hari ini.
Mohd.Yusuf mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing perlu menyemak terlebih dahulu lokasi pengundian mereka sebelum merancang perjalanan mereka.
“Semak dahulu pusat mengundi masing-masing sebelum bergerak pulang ke kampung dan pastikan alamat mengundi adalah di lokasi yang dituju.
“Pengguna lebuh raya juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.
“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi PLUS untuk oleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya,” jelasnya.
Terdahulu, PLUS menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada esok dan lusa, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri esok.
PLUS sudah pun membuat persiapan dan persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.
Sepanjang tempoh itu, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula esok sehingga Ahad kecuali membabitkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang tebabit dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.
Semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan R&R serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.-UTUSAN