PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta kerabat diraja Terengganu atas kemangkatan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu, Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah, hari ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Almarhumah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Almarhumah bersabar, tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.-UTUSAN