13 jam 'tumpang nyawa' di unjam buluh

13 jam ‘tumpang nyawa’ di unjam buluh

ANGGOTA Maritim Malaysia Kelantan mengiringi bot yang dinaiki Rohaimi bersama anak dan rakannya selepas hanyut di lautan bagi memastikan mereka selamat tiba di Jeti LKIM Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Unjam buluh menjadi penyelamat tiga nelayan termasuk dua beranak selepas bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak sebelum dipukul angin kuat dan kemudian hanyut sehingga memasuki perairan Thailand semalam.

Mangsa Rohaimi Ahmad, 47, berkata, kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika dia bersama anak lelakinya, Nik Mohd. Syafiq Abdul Hafiz, 21, dan rakan, Amir Zulfikar Che Will, 29, sedang memukat ikan sebelum bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak.

Menurutnya, cuaca yang tidak menentu disusuli dengan angin kuat menyebabkan bot mereka telah hanyut walaupun mereka sebelum itu telah berusaha melemparkan sauh namun gagal.

“Sehinggalah kami terjumpa satu unjam buluh dan membuat keputusan untuk mengikat bot di kawasan tersebut. Kami bergantung pada unjam itu bermula pukul 8 malam hingga 9 pagi keesokan harinya. Sepanjang berada di situ, kami tidak putus-putus berdoa dan bertawakal pada Allah semoga keajaiban berlaku.

“Alhamdulillah, nasib menyebelahi kami apabila sebuah bot milik warga Thailand yang melalui kawasan itu telah berhenti dan memberi bekalan minyak diesel sebanyak 10 liter minyak diesel. Saya kemudian menghidupkan semula enjin bot saya,” katanya ketika ditemui sebaik tiba  di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemasin, di sini, hari ini,

 

ROHAIMI Ahmad (kiri) mendukung anaknya selepas disambut isteri sebaik sahaja selamat tiba di Jeti LKIM Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

Rohaimi memberitahu, selepas itu dia terus bergerak ke arah sebuah kampung di Tak Bai, Thailand untuk mencari kawasan daratan sebelum kehabisan minyak buat kali kedua.

Katanya, sejurus tiba di Tak Bai dia terus meminta penduduk kampung menghubungi pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan bantuan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Alhamdulillah, hasil bantuan dari pihak berkuasa Thailand, kami selamat tiba di jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, kira-kira pukul 7 petang, semalam dan bermalam di situ.

“Pada pukul 7.30 pagi tadi, saya bertolak balik ke Kuala Kemasin sambil diiringi oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan. Saya tidak perit walaupun ini kali pertama berlaku sejak 20 tahun menjadi nelayan,” ujarnya.

Rohaimi berkata, selepas ini dia akan keluar memukat ikan yang merupakan sumber utama pendapatan keluarga dan berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi. 

Sementara itu, isteri Rohaimi, Nik Suliana Bikri Kamal, 41, berkata, dia bersyukur suami dan anaknya tiba dengan selamat di jeti Kuala Kemasin.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam mencari suami dan anaknya itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN