KUALA LUMPUR: Pekerja sektor p-hailing berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa tiga isu pokok yang dihadapi kumpulan tersebut pada perjumpaan bakal diadakan bersama syarikat pengendali itu tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Penghantar p-hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, tiga isu utama adalah mengenai kadar upah, peta digital dan penamatan akaun.
Menurut beliau, tiga isu tersebut sudah membelenggu golongan penghantar p-hailing sehingga menyebabkan pendapatan bulanan mereka terjejas dan sehingga kini tidak diberi sebarang solusi.
“Upah kami semakin hari semakin rendah, jadi kami mengharapkan kerajaan mewujudkan pelan harga lantai bagi pengambilan dan penghantaran barangan.
“Isu kedua mengetai peta digital yang ada jarak berbeza dengan jarak sebenar, di mana tidak ada penyelarasan. Ini betul-betul membebankan dan merugikan penghantar.
“Kami turut memohon isu mengenai penamatan akaun dibangkitkan kerana ia kadang-kadang dibuat sesuka hati oleh pengendali tanpa memberi hak kepada penghantar p-hailing untuk membela diri,” katanya ketika dihubungi.
ISU
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan memanggil kesemua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan mengenai beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang ketika ini.
Ia susulan seorang penghantar makanan mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah, sekali gus mengurangkan pendapatan mereka.
Justeru, beliau meminta Ahli Parlimen Tambun tersebut supaya membantu mereka mencari jpenyelesaian.
Zulhelmi berkata, kerajaan boleh mencadang syarikat pengendali menurunkan kadar komisen yang diambil kepada pengusaha-pengusaha makanan atau vendor.
“Jika kadar komisen diturunkan, ia boleh memberikan kelegaan kepada pihak syarikat supaya kadar pendapatan bagi penghantar p-hailing akan kekal dan tidak turun dari masa ke semasa.
“Kebanyakan vendor ini akan menaikkan harga makanan mengikut kadar komisen tersebut. Jadi, saya nampak, penurunan tu juga akan membuatkan pihak pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga,” katanya.
Sementara itu, Zulhelmi berkata, kerajaan hari ini memberi kerjasama baik untuk menyelesaikan isu-isu dihadapi pekerja ekonomi gig dan harap isu mereka akan selesai. – UTUSAN










