Uji jati diri sebelum dianugerah kewarganegaraan - Utusan Malaysia

Uji jati diri sebelum dianugerah kewarganegaraan

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anugerah kewarganegaraan kepada anak-anak wanita Malaysia hasil per­kahwinan dengan warga asing yang dilahirkan di luar negara mesti diuji jati diri dan tahap pengetahuan mereka mengenai negara ini.

Fasa ujian itu penting supaya kerajaan tidak tersilap menganugerahkan kewarganegaraan sedangkan anak tersebut menghabiskan masa hidupnya di negara luar tanpa pendedahan nilai kenegaraan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, meskipun kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang, namun anak-anak yang lahir di luar negara perlu diuji apabila mencapai umur sesuai.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan menggubal undang-undang di bawah Akta Parlimen bagi membolehkan ujian itu dijalankan sebagai syarat dan pelengkap kerakyatan kepada anak-anak terbabit mungkin sekurang-kurangnya 12 tahun.

“Ujian dimaksudkan mereka perlu faham keistimewaan Me­layu, agama Islam sebagai agama rasmi, Raja-Raja Melayu dan kefasihan berbahasa Melayu. Ini bermakna, kewarganegaraan mereka bersyarat yang mana mereka diuji.

MEMINDA

“Di sudut lain, cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan ber­kenaan kewarganegaraan tidak boleh dipersetujui sepenuhnya, sebab saya ragu dalam apa yang disebut sebagai rakyat Malaysia tetapi menetap sejak kecil di luar negara dan ciri-ciri kenegaraan itu sukar difahami.

“Justeru, perlu ada pindaan di bawah Akta Parlimen yang memerlukan mereka (anak) mematuhi syarat-syarat dikenakan kerajaan supaya anugerah kewarganegaraan Malaysia tidak sia-sia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Februari lalu, Kementerian Dalam Negeri bersetuju memberi kewarganegaraan automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Kabinet selepas bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara itu untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan, sekali gus mengiktiraf kesamaan jantina.

Semasa menghadiri Persidangan Undang-undang Malaysia An­tarabangsa kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu tidak ada kontroversi dengan cadangan pindaan perlembagaan mengenai undang-undang kewarganegaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×