PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali semalam menerima kunjungan Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isterinya dalam jamuan teh sempena Hari Raya Aidiladha petang ini.
Menurut Mohamed Azmin, Dr. Mahathir dalam kunjungan itu memberi pandangan kepada beliau mengenai situasi politik semasa di tanah air, isu ekonomi dan kos sara hidup.
Malah, katanya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu secara tuntas mengajak umat Melayu untuk bersatu melawan musuh yang mempunyai agenda yang tersirat dalam pertemuan lebih satu jam itu.
“Dalam pertemuan petang (semalam), Tun turut menceritakan hasil lawatan kerja beliau baru-baru ini ke United Kingdom, Turkiye dan Bosnia Herzegovina. Jadual beliau padat dengan pertemuan dan perbincangan yang terkait isu geopolitik, ekonomi, dan cabaran global.
“Menurut Tun, dunia berdepan dengan masalah yang sama iaitu perubahan iklim, pandemik, populasi yang mencecah lapan bilion dan ekonomi yang tidak menentu.
“Presiden Recep Tayyip Erdogan dan isteri memberikan penghormatan istimewa kepada Tun dan Tun Dr. Sit Hasmah dalam pertemuan di Ankara. Turkiye meminta nasihat Tun dan ingin bekerjasama dengan Tun untuk menjayakan Istanbul Summit berdasarkan pengalaman dan kejayaan Tun memimpin KL Summit,” kongsinya menerusi hantaran di Instagram.
Sementara itu, Mohamed Azmin turut mendoakan Dr. Mahathir dan isterinya akan terus dilindungi dan dirahmati Allah.
“Kami juga sempat bertanya khabar mengenai keluarga dan cucu masing-masing. Alhamdulillah, minggu depan Tun akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-98 dan Tun Dr. Siti Hasmah ke 97. Syukur Allah mengurniakan nikmat kesihatan kepada Tun berdua,” katanya. -UTUSAN










