PETALING JAYA: Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada 25 Jun lalu sepatutnya menyaksikan ‘peralihan’ jawatan Presiden daripada Datuk Ibrahim Ali kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, Dr. Mahathir enggan terlibat dalam politik sebaliknya mahu gerakan yang dinamakan sebagai Proklamasi Melayu dikuatkan.
Namun, katanya, Dr. Mahathir kekal memegang kad keahlian seumur dengan nombor ahli pertama B-0000001 dan akan bertindak sebagai penasihat parti itu.
“Memang sebelum ini Putra merancang memilih beliau sebagai presiden dan akar umbi juga bersetuju. Bagaimanapun, hal ini tidak dapat diteruskan dan Dr. Mahathir tidak menjadi Presiden.
“Oleh itu, saya kekal sebagai Presiden dan kali ini memasuki tahun yang kelima,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mac lalu, Dr. Mahathir yang menyertai Putra dilaporkan bakal mengambil alih kepimpinan parti dan dilantik sebagai Presiden dalam ‘rombakan’ yang telah berlangsung baru-baru ini.
Bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sendiri memaklumkan akan berlaku peralihan jawatan Presiden pada pemilihan parti Putra.
Perkara itu timbul selepas beliau diberi kad keahlian nombor satu dipegang Ibrahim semasa sidang akhbar Majlis Penyerahan Kad Keahlian dan Watikah Penasihat Putra, Tun Mahathir di Putrajaya. – UTUSAN










