PETALING JAYA: Pas menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali ke pangkal perjuangan setelah berkongsi pentas bersama parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keberadaan Dr. Mahathir di atas pentas Pas bukanlah satu perkara baharu kerana bekas Perdana Menteri itu pernah berbuat demikian sewaktu dipecat UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kapar, Selangor selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Sebelum itu juga, katanya, Dr. Mahathir pernah bersama-sama Pas menentang pelaksanaan jus soli.
Sebaliknya Abdul Hadi mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak lupa bahawa beliau pernah memberi imej buruk kepada Pas sebagai sebuah parti pelampau bagi membunuh pengaruh parti itu.
“Pada masa yang sama, dia (Anwar) juga berusaha untuk menguasai UMNO bersama pasukannya bagi mencapai tujuan mendapatkan kuasa berkonsepkan pragmatik dengan menghalalkan segala cara sehinggalah dia dipecat dan kemudiannya bekerjasama dengan DAP berkonsepkan wala’ (setia) yang diharamkan.
“Seterusnya berjaya memasukkan pengkhianat ke dalam UMNO dan memecahkannya kepada satu kumpulan yang lari daripada landasan perjuangan agama, bangsa dan tanah air serta berjaya memasukkan pengkhianat ke dalam Pas, namun golongan itu berjaya disingkirkan.
“Kini, dia sendiri mendedahkan peranannya dalam melumpuhkan politik Melayu dan Islam serta menguatkan DAP. Apabila DAP meletakkannya menjadi ‘poster boy’ bagi kumpulannya, ia menjadi bukti kepada tujuan tersebut,” kata Abdul Hadi dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, kehadiran Dr. Mahathir berkongsi pentas yang sama dengan pemimpin Pas menunjukkan dirinya berada dalam keadaan terdesak.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu ketika berkuasa dilihat ‘sangat kejam’ terhadap Pas dan para penyokongnya.
Dr. Mahathir minggu lalu sepentas dengan Pas menjelang PRN setelah menghadiri program Munajat Rakyat dan Pakat Pertahan Pas Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan.
Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, al-Quran menyuruh agar mengutamakan perpaduan Islam dengan menolak sebarang gangguan syaitan yang menghasut dan mengganggu di jalan Allah yang istiqamah.
Justeru, beliau menegaskan semua umat Islam wajib menyatukan bangsa Melayu Islam berpecah-belah dan kaum bumiputera lain yang dilihat juga mengalami keadaan sama.
“Pas menerima Proklamasi Melayu kerana merupakan satu konsep yang memerlukan bangsa Melayu bersatu dan memimpin kerana mereka adalah penduduk asal yang bertapak bersama Islam di tanah air ini.
“Bahkan juga menolak kerjasama dengan DAP dan parti komponennya kerana membawa prinsip wala’ yang menjadi ancaman kepada ketuanan Islam dan umatnya, suatu perkara yang jelas dan nyata dalam perlembagaan partinya yang menjadi asas dan hala tuju perjuangannya,” jelas beliau.-UTUSAN