SEREMBAN: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menganggap kerusi tersebut mudah untuk dipertahankan.
Sebaliknya, beliau atau lebih popular dipanggil Tok Mat akan bekerja lebih kuat bagi mempertahankan kerusi tersebut selepas dicabar calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan.
“Kita menghormati walaupun satu lawan satu pada kali ini. Kita tidak perlu memandang remeh saingan kerana itu saya katakan saya perlu bekerja kuat.
“Saya tidak mungkin dapat pergi ke semua tempat untuk menyantuni atau berjumpa dengan setiap pengundi.
“Jadi, jentera akan bergerak melalui bilik gerakan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di cawangan untuk mereka bergerak dan berkempen bagi pihak parti,” katanya di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan, Sendayan, di sini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan sejak tahun 2004.
Dalam pada itu, Rozmal berkata, segala kemungkinan berhubung keputusan boleh berlaku walaupun beliau adalah calon bukan pilihan.
“Dalam pilihan raya segala kemungkinan boleh berlaku dia sebagai ‘heavyweight’ dan ‘under dog’ tiada tekanan.
“Peluang itu ada bergantung kepada jentera dan bergantung kepada pengundi kalau kita dapat yakin kan pengundi seramai lebih 50 peratus…insya-Allah peluang itu ada,” katanya. – UTUSAN










