Tipu jual beli baju kurung, penjual dalam talian didenda RM2,000 - Utusan Malaysia

Tipu jual beli baju kurung, penjual dalam talian didenda RM2,000

MOHD. Sopri Togil (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan menipu urusan jual beli baju kurung membabitkan nilai kerugian RM320 pada Mac lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang penjual baju kurung dalam talian dikenakan hukuman denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini selepas dia mengaku salah atas pertuduhan menipu urusan jual beli baju kurung membabitkan nilai kerugian sebanyak RM320 pada Mac lalu.

Mohd. Sopri Togil, 47, membuat pengakuan tersebut  sebaik dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan penipuan terhadap mangsa seorang wanita berusia 46 tahun dengan memperdaya mangsa melakukan pembayaran dalam talian ke dalam akaun tertuduh atas tujuan pembelian baju kurung menyebabkan kerugian RM320.

Perbuatan berkenaan dilakukan pada 27 Mac 2023 di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah, di sini.

Oleh demikian, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon agar hukuman yang dikenakan dapat dikurangkan memandangkan akaunnya telah dibekukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dua minggu sebelum hari raya.

“Semasa saya berniaga, akaun saya telah dibekukan KPDN dua minggu sebelum Raya (Hari Raya Aidilfitri), aset saya dirampas ada aduan di KPDN. Ada kelewatan dari segi production (pengeluaran) baju, aset saya dirampas, saya tidak berpeluang beritahu kepada pelanggan,” katanya.

Majistret kemudiannya bertanyakan sebab utama sitaan berkenaan dibuat.

“Mesti ada sebab, kalau kamu tidak buat hal (perkara), mesti tidak ada aduan KPDN,” tegas Saiful

Tertuduh kemudiannya memberitahu terdapat kes serupa membabitkan pembeli berlainan.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda tersebut sebagai memberi amaran kepada penjual atau orang awam lain untuk tidak sewenang-wenangnya menipu pembeli.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya