KOTA BHARU: Anak Kelantan di perantauan tidak perlu gundah-gulana bagi mendapatkan tiket bas untuk balik mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti kerana masih ‘berlambak’.
Situasi itu sekali gus menafikan kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman yang mendakwa tiket bas untuk balik mengundi yang dijual secara dalam talian sudah habis dibeli oleh anak-anak perantau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang pengusaha bas ekpres yang enggan dikenali berkata, tiket untuk balik ke negeri ini masih lagi banyak menjelang tarikh tersebut.
Pengusaha itu memberitahu, sejujurnya dia terkejut sebaik sahaja membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen tersebut menerusi laporan akhbar.
Katanya, dia berharap situasi itu tidak menimbulkan rasa panik dalam kalangan pengguna.
Sementara itu, jurucakap Konsortium E-Mutiara ketika dihubungi berkata, jualan tiket untuk bulan Ogos masih belum dibuka dan biasanya dibuka seminggu sebelum Ogos.
Sementara itu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Semalaysia (PPPBS) memberi jaminan bahawa perkhidmatan bas adalah mencukupi bagi menampung keperluan pengguna untuk pulang mengundi.
Presidennya, Datuk Muhammad Ashfar Ali berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada ahli-ahli untuk segera membuat permohonan atas talian di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk bas tambahan bagi menangani isu kekurangan bas sempena PRN.
“Saya beri jaminan para pengundi tidak perlu risau akan isu ketiadaan bas untuk ke destinasi undi masing-masing,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Katanya, urusan permohonan itu terletak kepada inisiatif pengusaha-pengusaha bas itu sendiri sama ada mahu membuat tambahan bas atau pun tidak.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, pihaknya turut mendapat permintaan daripada institusi pengajian tinggi bagi membantu pelajar pulang mengundi.
Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan bas sekolah atau bas IPT yang disediakan itu tidak terbuka kepada umum.
Selain itu, tambah Amali, pihaknya juga belum memutuskan jumlah bas yang akan disediakan memandangkan rundingan masih berlangsung. – UTUSAN










