Tidak patut guna Akta Hasutan - Muda

Tidak patut guna Akta Hasutan – Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berpendirian, Akta Hasutan tidak patut digunakan untuk menahan dan mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini. 

Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd. Hadi berkata, ini kerana Malaysia mempunyai undang-undang lain yang boleh digunakan. 

“Saya kekal berpendirian bahawa Akta Hasutan tak patut digunakan apatah lagi ke atas seteru politik. Kita ada undang-undang lain,” katanya dalam satu hantaran di Twitter, hari ini. 

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Muhammad Sanusi sebentar tadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut. 

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di simpang empat Taman Selayang Mutiara di sini. 

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, Amir Hariri juga menuntut pihak berkuasa supaya memberi penjelasan berhubung tangkapan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada awal pagi hari ini. 

“Saya juga tak faham kenapa perlu tangkapan dibuat pukul 3 pagi. Harap ada penjelasan. Pada saya tak ada keperluan,” ujarnya. 

Utusan Online awal pagi tadi melaporkan, Pengarah Pilihan Raya Pas itu ditahan polis di sebuah hotel penginapan dalam Lembah Klang dan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN