KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengumumkan sebarang ‘projek mi segera’ di sesuatu lokaliti sempena pilihan raya membabitkan enam negeri pada Ogos depan.
Menurut beliau, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pengumuman projek segera demi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sangat jelas dan ia tidak akan berlaku.
“Ada dua perkara apabila bercakap soal pengumuman projek ini. Saya rasa kita merujuk kepada projek mi segera di sesuatu lokaliti hanya kerana adanya pilihan raya.
“Perkara ini sudah dijelaskan, tidak akan ada (sebarang pengumuman) berkaitan hal tersebut. Arahan Perdana Menteri juga sangat jelas mengenainya,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia, di sini, hari ini.
Pada Jun lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan negeri yang sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataannya mengingatkan kerajaan negeri berkenaan yang terdiri daripada Kelantan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu, kini hanya cuma berperanan sebagai kerajaan sementara selepas pembubaran DUN.
“Disebabkan fungsinya untuk memastikan operasi asas berjalan sehingga pembentukan kerajaan baharu, kerajaan sementara ini perlu berhenti daripada membuat keputusan penting atau mengumumkan sebarang projek baharu.
“Sebarang keputusan atau pengumuman baharu secara demokratiknya adalah salah serta meragukan dari sudut undang-undang kerana mereka tidak mempunyai kuasa selain penjaga sementara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, di sebalik berlangsungnya PRN di enam negeri pada Ogos depan, kerajaan tetap perlu melaksanakan tugasnya seperti biasa.
Menjadikan kementeriannya sebagai contoh, Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan bermesyuarat untuk meneliti polisi-polisi sedia ada secara bulanan.
“Mesyuarat MTEN seterusnya pada awal bulan Ogos adalah berkaitan gaji progresif, jelas sekali kami perlu teruskannya.
“Jadi jika ada pengumuman mengenai gaji progresif ia tiada kaitan dengan pilihan raya negeri. Ia hanya polisi.
“Tidak bermaksud hanya disebabkan kita akan menghadapi pilihan raya negeri jadi kerajaan tak boleh teruskan dengan dasar-dasar sedia ada,” katanya.
Pada masa sama, Rafizi percaya bahawa kerajaan akan mengimbangi kedua-dua perkara tersebut antara projek pembaikan segera semata-mata untuk pilihan raya dengan tugas hakiki sebagai sebuah kerajaan.-UTUSAN