KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) perlu diwajibkan berada di setiap acara dalam negara yang melibatkan artis antarabangsa bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini seperti yang berlaku di pentas Festival Good Vibe (GVF 2023) baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, Seniman memuji tindakan tegas dan pantas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang membatalkan terus acara itu tetapi tindakan lebih tegas perlu diperkenalkan selepas ini.
“Apa yang Seniman nampak, selepas ini perlu ada wakil daripada PUSPAL untuk berada di setiap acara hiburan melibatkan artis luar negara supaya jika berlaku saja kejadian yang tidak diingini, badan berkuasa ini terus boleh menghalang dan menangkap individu terbabit.
KUAT KUASA
“Penempatan wakil PUSPAL di mana-mana acara sebelum ini tidak dikuatkuasakan kerana mungkin kita tidak pernah menyangka insiden seperti ini boleh tercetus. Namun selepas ini syarat akan diperketatkan dan perkara ini boleh dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Zed berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan jelik dan kurang sopan yang dilakukan vokalis kumpulan 1975, Matty Healy, ketika melakukan persembahan GVF 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, 21 Julai lalu.
Dalam konsert itu, Healy dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Healy juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.
Selain itu, Zed berkata, Seniman turut mencadangkan supaya ada wakil orang seni untuk berada dalam PUSPAL terutama dalam libat urus berhubung syarat persembahan dan sebagainya yang melibatkan aktiviti seni.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, pihak berwajib perlu lebih cermat sebelum meluluskan sebarang penganjuran konsert kerana tindakan dilakukan kumpulan The 1975 pernah mereka lakukan semasa konsert kumpulan itu di Dubai. – UTUSAN







