Tanaman musnah selepas tragedi kepala air masih terbiar

Tanah pertanian selepas tragedi kepala air masih terbiar

KEBUN getah milik Muhamad Kamal Taha yang masih digenangi air dan berlumpur sehingga merosakkan tanaman tersebut selepas peristiwa banjir kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling. -UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Lebih setahun tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Bukit Iboi, di sini berlaku yang turut merosakkan tanaman serta tanah pertanian penduduk kampung, namun didakwa tiada pihak yang tampil untuk membantu mereka sehingga kini.

Ketua Unit Peladang kawasan itu, Abdul Wahab Samah, berkata, lebih 34 hektar tanah sawah tidak dapat diusahakan lagi oleh 18 peserta akibat mendapan tanah lumpur yang dihanyutkan oleh arus sungai sehingga menenggelamkan petak-petak sawah.

“Masalah petak sawah yang ditenggelami tanah merah ini sebenarnya bermula sejak 2019 lagi apabila air Sungai Iboi mulai keruh akibat projek tanaman Musang King dan projek Felcra di Gunung Inas.

“Jika sebelum ini, air sungai yang memasuki petak sawah adalah jernih dan sedikit keruh apabila hujan tetapi apabila berlaku beberapa projek tarahan bukit di Gunung Inas, air sungai mulai keruh dan penuh dengan lumpur yang merosakan tanaman padi,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, 18 peserta yang bersama-sama mengerjakan sawah padi mengalami kerugian besar dan sejak itu mereka tidak lagi menanam padi sehingga menyebabkan tanah sawah terbiar itu dipenuhi semak samun.

Ekoran itu, Abdul Wahab berkata, ramai petani termasuk dirinya beralih ke tanaman lain seperti pisang, jagung dan sebagainya untuk mencari rezeki tetapi malangnya keseluruhan tanaman itu turut musnah sama sekali akibat banjir kepala air yang berlaku setahun lalu.

“Lebih setahun kami tidak dapat menjana pendapatan sendiri melalui pertanian kerana kami memerlukan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat untuk bangkit semula kerana kami bukanlah orang berduit.

“Sehingga sekarang, ada juga beberapa kali mereka datang untuk lihat dan berjanji untuk membantu, tetapi tiada apa-apa yang kami terima, semuanya sepi seribu bahasa sehinggakan kami sudah serik dan tidak mahu berharap lagi kerana kecewa,” katanya.

Katanya lagi, sebelum kejadian banjir itu, dia mampu meraih sehingga RM20,000 dalam tempoh enam bulan melalui tanaman jagung dan pisang di tanah sawahnya, tetapi ketika bencana itu melanda kesemua hasil yang sedang dituai itu telah musnah sama sekali.

Sementara itu, Muhamad Kamal Taha, 37, pula berkata, tanaman getahnya musnah hampir keseluruhannya akibat ditenggelami banjir lumpur ketika tragedi kepala air terbabit yang meninggalkan sisa pasir dan lumpur.

“Puncanya kawasan kebun getah yang luasnya 0.5 hektar itu terletak hanya 100 meter sahaja dengan Sungai BokBak dan Sungai Iboi. Jadi ketika bencana itu, air sungai yang keruh telah masuk ke kawasan kebun dan meninggalkan lumpur yang tebal menyebabkan akar pokok getah rosak.

“Pokok-pokok getah yang berusia lapan tahun itu rosak sama sekali dan tidak boleh ditoreh lagi, yang selamat hanya beberapa pokok sahaja yang ditanam agak tinggi sedikit di kawasan bukit.

“Kami perlu tanam semula pokok-pokok getah itu dan bina semula sistem perparitannya, ia akan mengambil jangka masa yang panjang dan juga kos yang tinggi sedangkan tiada apa-apa bantuan diperolehi,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya