REMBAU: Seorang wanita tabah memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang sakit terlantar dan tiga orang anak saudara yang berusia 14 hingga 17 tahun sejak lebih 10 tahun lalu.
Anak bongsu daripada enam orang adik beradik, Nurfarrahazlin Mohd. Nor, 25, berkata, ibunya, Fadilah Latif, 62, mulai sakit dan diserang angin ahmar selepas kematian bapanya, Mohd. Nor Yasin pada tahun 2020.
Menurutnya, ibunya itu kini terpaksa menjalani rawatan dialisis beberapa kali dalam seminggu namun mujur segala bayaran bagi tujuan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pihak Baitulmal.
“Saya memang tidak dapat bekerja kerana menjaga ibu selain tiga lagi anak buah yang tinggal bersama kami sejak ibu masih sihat lagi serta ayah masih ada. Abang saya sehingga hari ini gagal dikesan dan anak-anaknya sudah 14 tahun dijaga ibu.
“Ibu mereka juga tidak pernah datang untuk bertemu anak-anaknya. Kini ibu sakit dan Alhamdulillah anak-anak buah saya ini turut sama menjaga nenek mereka yang sakit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Program Jom Masuk Kampung Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Negeri Sembilan di Kampung Chembong Halt, di sini.
Yang hadir sama, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Zairuddin Mat Zuini.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula dan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.
Seramai lima warga emas di kampung berkenaan telah dikenalpasti bagi menerima sumbangan tersebut.
Ujar Nurfarrahazlin, dia berasa gembira apabila ibunya juga terpilih untuk menerima bantuan tersebut
“Kami sekeluarga kini bergantung sepenuhnya kepada pencen ilat arwah bapa yang dahulu bekerja sebagai kerani sebuah syarikat akhbar. Selain itu, anak-anak buahnya saya juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan persekolahan.
“Saya sangat terharu kerana mereka mengambil tahu mengenai keadaan keluarga kami serta menyampaikan sumbangan. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kami sekeluarga,” katanya lagi.
Mana-mana pihak yang yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0530041000037224 atas nama Nurfarrahazlin Fadilah.-UTUSAN