PETALING JAYA: Keyakinan berterusan Infineon Technologies AG terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan negara ini amat penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini menjadi hab penting bagi Infineon dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim, Kedah dan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip di Melaka.
Katanya, perkara itu terbukti melalui jumlah pelaburan sebanyak RM28 bilion yang dilakukan oleh syarikat berkenaan di Malaysia sehingga kini.
“Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr. Rutger Wijburg turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat tersebut.
“Keyakinan berterusan Infineon terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau mengadakan pertemuan dengan Infineon yang beroperasi di negara ini selama 50 tahun sejak 1973 di Putrajaya semalam.
Menurut Anwar, keyakinan syarikat antarabangsa itu menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan fokus di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik. -UTUSAN

								
											








