PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig pada Oktober ini memberi harapan baharu kepada seluruh pekerja dalam rantaian industri tersebut untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang sudah berlanjutan bertahun-tahun lamanya.
Presiden Persatuan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, sebelum ini, mereka diibaratkan bola yang ditendang ke pelbagai pihak kerana tiada badan yang benar-benar boleh membantu dan bertanggungjawab kepada mereka.
Menurutnya, penubuhan suruhanjaya ekonomi gig bertepatan dengan aspirasi dan perjuangan yang dilakukan oleh pihaknya selama ini.
“Sehingga kini kita lihat garis panduan, akta dan polisi sedia ada lemah kerana tidak meliputi keseluruhan ekosistem. Jadi suruhanjaya tersebut amat penting untuk mengawal selia dan mengstruktur rantaian ekosistem ini.
“Penubuhan suruhanjaya tersebut juga tepat pada masanya dalam memastikan pembangunan industri gig dapat dikawal selia di bawah satu bumbung yang lebih besar. Ia dilihat bukan sahaja penting untuk menjaga kebajikan pekerja p-hailing dan e-hailing tetapi juga pekerja penyedia perkhidmatan dan peniaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sebagai usaha berterusan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi itu dan memastikan nasib pekerja gig dibela oleh majikan dengan sewajarnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, syarikat ekonomi gig tidak boleh lagi melepaskan tanggungjawab menjaga pekerjanya.
Malah, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, garis panduan pekerja gig 2023 akan turut diwujudkan yang memberi fokus kepada pekerja penghantar makanan atau barangan yang menggunakan platform digital sahaja.
Katanya, garis panduan itu perlu kerana tiada peruntukan khusus dalam undang-undang mengenai pekerja gig yang menjadikan pekerjaan mereka agak kabur.
Mengulas lanjut, Zulhelmi berkata, Suruhanjaya Ekonomi Gig disaran menyediakan saluran aduan sebagai pusat sehenti untuk menjelaskan isu berkaitan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja dalam industri tersebut.
Tambahnya, pihaknya juga berharap satu sistem penarafan yang telus diperkenalkan bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah pada kemudian hari.
“Sekarang ini (semua perkara) dikawal oleh syarikat, dan prosedur operasi standard (SOP) pun sentiasa berubah-ubah serta kadang-kadang ia memberi kesan negatif kepada kami sebagai pekerja.
“Salah satunya adalah mengenai peta digital yang menunjukkan jarak tidak sama dengan jarak sebenar dan kemudian aplikasi penghantaran yang menekan pekerja dengan memaksa kami mengejar masa, trip dan sebagainya sehingga menaikkan risiko di atas jalan raya,” katanya.-UTUSAN











