KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya peruntukan ekonomi gig dinaikkan daripada RM100 juta kepada RM500 juta dalam Bajet 2024.
Katanya, peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk menangani isu yang dihadapi industri gig ketika ini.
“Saya arahkan Menteri Sumber Manusia bahawa peruntukan sedia ada tidak cukup, kita cadangkan supaya diberikan RM500 juta.
“Kita tahu bahawa pengusaha gig merupakan orang kaya yang bertambah kaya, tetapi penggiat gig hanya diberikan upah yang sangat ‘ciput’. ‘Keciputan’ ini yang harus diperjuangkan,” katanya ketika merasmikan penutupan Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industri Gig di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Kata beliau, peruntukan yang besar diperlukan kerana pekerja tidak formal termasuk penggiat gig tidak mendapat sebarang perlindungan sewajarnya.
“Selama beberapa tahun, kegiatan penggiat gig berjalan, namun tidak dipeduli mereka terutama syarikat penyedia perkhidmatan yang tidak anggap mereka sebagai pekerja dan mereka juga tidak menganggap sebagai majikan.
“Kita tahu kadar pembayaran gig juga terlalu rendah dan kita juga tidak mahu menekan syarikat, tapi, kita minta supaya soal kebajikan dan soal perlindungan mesti diselaraskan,” katanya.
Justeru, katanya, beberapa langkah akan diambil oleh kerajaan antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mewujudkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk penggiat gig.
Beliau memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan akan turut terlibat membantu penggiat gig dari sudut keusahawanan.
“Ertinya bagi tahun depan, peruntukan untuk pekerja tidak formal ini akan ditambah dari RM100 juta ke satu jumlah yang lebih tinggi, bagi jaga kebajikan dan perlindungan kepada mereka.
“Jadi, sangat munasabah jika peruntukan ini ditambah kerana penggiat gig yang terlibat lebih 1.16 juta dan perlindungan sosial hanya diberi kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Beliau turut memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan memorandum kepada Kabinet termasuk penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia bagi mendapat kelulusan.
“Saya yakin Perdana Menteri akan meluluskan suruhanjaya ini apabila menteri membawa memorandum ini, insya-Allah, ia akan dapat diluluskan segera dan diumum secara rasmi pada sidang Bajet 2024 Oktober ini,” katanya.-UTUSAN