ALOR SETAR: Kerajaan memerlukan RM3 bilion bagi meningkatkan infrastruktur tanaman padi di negara ini termasuk dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi menambah pendapatan pesawah dan keterjaminan makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai program direncanakan antaranya Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun yang sudah dilaksanakan projek rintisnya sebelum ini.
Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama MADA dan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah berbincang perkara itu dan memerlukan RM3 bilion untuk menjayakan agenda-agenda di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN).
“Mereka bagi pandangan dan kata kalau nak jayakan projek tanam lima musim dua tahun ini, kena ada beberapa infrastruktur tali air, jalan dan macam-macam (yang baik). Saya kata berapa (diperlukan), dia jawab bukan untuk tahun ini, kita mesti mula untuk dua tiga tahun akan datang, tiga tahun paling kurang, mesti siap RM3 bilion.
“Itu masalah saya (untuk cari RM3 bilion), boleh kita dok saja tapi RM3 bilion sikit ke banyak, banyak. Tapi kalau negara ini selamat daripada sakau, kita urus (dengan baik), jangan rasuah, jangan curi balak, jangan curi nadir bumi kita boleh selamatkan negara, RM3 bilion kita boleh selesaikan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Peringkat Negeri Kedah bersama Peladang, Penternak, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil di Ibu Pejabat MADA di sini semalam.
Anwar berkata, kerajaan tiada pilihan untuk melakukan perkara itu kerana pesawah masih tergolong dalam kategori miskin dan kerajaan mahu meningkatkan pendapatan mereka sejak mengambil alih pentadbiran negara.
“Saya nak pastikan dengan kerjasama rakan-rakan pesawah boleh tingkat pendapatan dari RM1,200 kepada RM1,800 sebulan.
“Dengan cara demikian kita boleh juga selesaikan masalah keterjaminan makanan,” kata beliau. – UTUSAN











