PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk diagihkan kepada semua agensi penguat kuasa pada tahun ini bagi tujuan perbelanjaan terutamanya mengukuhkan kelengkapan dan menyokong operasi penguatkuasaan.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai menghargai komitmen dan usaha agensi penguat kuasa yang sentiasa bertungkus lumus membantu meningkatkan hasil negara.
Kata beliau, peranan agensi penguat kuasa adalah penting dalam memastikan pelaksanaan undang-undang berada pada landasan betul.
“Peruntukan RM100 juta akan sampai selewat-lewatnya Jumaat minggu depan. Insya-Allah, pada tahun 2024, kerajaan akan terus komited memperuntukkan peruntukan khusus mengambil kira prestasi kutipan hasil tambahan yang ditunjukkan oleh agensi penguat kuasa.
“Saya juga meluluskan segera peruntukan sebanyak RM4 juta bagi keperluan kenderaan dan kelengkapan komputer bagi pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika menyampaikan amanat dalam Program Cakna Madani bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan tiga lagi inisiatif kepada pasukan penguat kuasa antaranya kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada pegawai dan anggota skim penguat kuasa.
Selain itu, kata beliau, mana-mana agensi yang berjaya mencapai kutipan hasil melebihi sasaran, dicadangkan pemberian dalam bentuk pemerkasaan peralatan, kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.
PAKAIAN
Beliau berkata, insentif pakaian seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional ditambah baik kepada kaedah bekalan kemudahan pakaian seragam di enam agensi melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun.
Agensi itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Pada masa sama, Anwar turut memberi komitmen untuk mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan persaraan penjawat awam dalam satu jawatankuasa khas sekretariat yang akan dipengerusikan beliau pada minggu depan.
Ini kerana katanya, kajian skim perkhidmatan awam tidak dibuat melebihi 10 tahun dan diakui kadar gaji dan upah termasuk elaun penjawat awam relatif nisbahnya adalah rendah.
“Sebagai kerajaan bertanggungjawab kita mencari jalan untuk meningkatkan kadar ini. Walaupun hutang negara mencecah RM1.5 trilion ia bukan alasan (untuk tidak mempertingkatkan kadar itu) saya tak mahu tangguh.
“Sama ada kenaikan itu secara berperingkat iaitu setiap tahun ada kenaikan setimpal dengan kerja mereka, saya fikit pendekatan itu lebih baik untuk melihat semula skim perkhidmatan awam,” katanya. – UTUSAN