Rancang beli lebih awal elak kos lembu korban tinggi

Rancang beli lebih awal elak kos lembu korban tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini perlu bijak membuat perancangan lebih awal sekiranya berhasrat mahu membeli haiwan korban bagi mengelak terikat dengan bebanan kos tinggi terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas, Ikhlas Kamaruddin berkata, langkah itu mampu memberi ruang masa untuk penternak menguruskan proses penjagaan dan penggemukkan haiwan korban dengan lebih baik.

“Itu juga apa yang pihak kami praktikkan sejak empat tahun program Ikhlas Qurban ini diwujudkan. Tindakan ini dapat membantu merendahkan kos pembelian dan penternak juga ada masa untuk menyediakan haiwan yang bersesuaian,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ikhlas Qurban Perdana yang diadakan di Masjid Al-Ikhlasiah, Pantai Dalam, di sini, hari ini. Ikhlas adalah cabang perniagaan mesra Muslim Airasia Digital.

Pada majlis tersebut, seekor lembu sado dengan berat satu tan telah ditumbangkan dan agihan daging korban tersebut dimanfaatkan kepada seramai 1,000 asnaf dan golongan B40 di sekitar kawasan terbabit.

Menurut Ikhlas, program Ikhlas Qurban semakin mendapat perhatian ramai kalangan pengguna yang meletakkan kepercayaan kepada pengurusan dan pelaksanaan ibadah korban menerusi laman sesawang Ikhlas.com dan di aplikasi Ikhlas.

Malah, jelas beliau, Ikhlas Qurban juga menerima tempahan untuk pengurusan ibadah korban di luar negara.

“Kami juga mengakui, peratusan pengguna melakukan korban di luar negara meningkat sekitar 60 hingga 70 peratus dengan selebihnya adalah di dalam negara. Ia sekali gus dilihat menjadi satu trend pada waktu ini.

“Kami akui memang harga haiwan korban kini meningkat. Ini masalah yang dihadapi oleh rakyat kita dan kerana itu mungkin ramai cenderung memilih di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai peruntukan tahunan Ikhlas Qurban untuk tujuan pembelian haiwan korban, Ikhlas berkata, pihaknya membelanjakan lebih RM2 juta setiap tahun.

“Sebenarnya, setiap tahun jumlah itu berkembang. Namun kami bersyukur kerana itu menunjukkan kepercayaan ramai pihak terhadap jenama dan perkhidmatan yang kami sediakan sejak tahun pertama ia ditubuhkan.

“Pada masa yang sama, kami juga berazam untuk berusaha lebih dalam memanfaatkan lebih ramai golongan asnaf dan orang yang tidak berkemampuan menerusi program ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN