KUALA LUMPUR: Kira-kira 82.8 peratus mangsa yang terjerat dengan penipuan Love Scam adalah wanita.
Dalam tempoh lima tahun ini, sebanyak 7,548 kes membabitkan nilai kerugian lebih RM382 juta direkodkan berkaitan penipuan tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kajian yang dilakukan jabatan ini turut mendapati, daripada sejumlah 7,548 kes yang direkodkan, seramai 6,257 mangsa adalah wanita.
Manakala bakinya iaitu 1,297 kes membabitkan mangsa lelaki di mana mungkin lebih daripada itu, tetapi tidak dilaporkan, katanya.
“Kebanyakan wanita yang menjadi mangsa ini masih bujang dan ibu tunggal hanya kerana disebabkan cinta.
“Ada kes yang menjadi mangsa sehingga ditipu RM12 juta selepas mangsa mempercayai suspek, namun, polis percaya trend penipuan ini akan menurun menerusi kempen yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Trailer Filem Kesedaran Anti-Scam Oppa, di Kl Welness City, di sini, hari ini.
Ramli berkata, sebagai usaha untuk membanteras penularan kes-kes penipuan sebegini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah komersial melalui Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pada hari ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mencipta satu lagi kelainan dalam pelaksanaan Kempen Anti Scam.
“Melalui kerjasama dengan Syarikat Dream Film Sdn Bhd, sebuah filem anti scam bertajuk ‘Oppa’ dihasilkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Filem, Denil Choon Lin Loong berkata, filem tersebut menelan belanja RM1 juta tidak termasuk promosi di mana ia dilakonkan oleh polis yang sebenar.
“Ketika mengarah filem ini, saya turut belajar dengan pihak polis bagaimana cara betul menangkap penjenayah.
“Filem ini dijangka ditayangkan hujung tahun ini atau tahun depan bergantung kepada kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas),” katanya.-UTUSAN