PETALING JAYA: Pertemuan antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai tindakan terdesak yang dilakukan untuk menyelamatkan hayat politik parti masing-masing.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pertemuan dua pemimpin itu janggal susulan peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020 yang menyebabkan kerajaan Dr. Mahathir tumbang dikhianati Muhyiddin.
“Ini bukan pertemuan berkait dengan penyatuan Melayu tetapi hanya perjumpaan dua kumpulan pembangkang yang menggunakan isu Melayu untuk meraih sokongan.
“Pada saya walaupun tidak dinyatakan sama ada mereka akan bekerjasama atau tidak tetapi kita sebagai rakyat tahu mereka berjumpa demi survival politik masing-masing.
“Agenda penyatuan Melayu bukan tertumpu pada gabungan parti politik tetapi pada kaum Melayu keseluruhannya dalam negara ini. Rakyat hanya akan berasa pelik dan janggal apabila Tun Mahathir menerima kunjungan Muhyiddin sedangkan itulah individu yang dikatakan mengkhianati beliau dan kerajaan pada masa itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Tun Mahathir yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kalah sehingga hilang deposit bersama 116 calon lain yang bertanding atas tiket parti itu.
Dalam pada itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pertemuan itu diadakan kerana Dr. Mahathir menyedari beliau ditolak rakyat pada PRU15.
“Gelombang hijau itu nyata ketika PRU15 manakala Dr. Mahathir pula pada masa itu boleh nampak beliau tidak lagi boleh meneruskan perjuangannya bersendirian dan cara yang beliau nampak adalah merapatkan diri dengan PN.
“Ini bukan satu perkara janggal pun dalam politik kerana memang politik ini sifatnya dinamik. Kerjasama kedua-dua individu ini adalah usaha untuk menarik undi orang Melayu,” katanya. – UTUSAN











