PETALING JAYA: “Kerusi adalah milik rakyat, jangan terlalu ‘lena’ sampai menganggap rakyat itu adalah safe deposit (deposit selamat) mereka. Itu tidak adil”.
Demikian reaksi Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika diminta mengulas mengenai penyertaan partinya dalam merebut kerusi-kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang didakwa milik Pakatan Harapan (PH).
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, masalah Malaysia ketika ini adalah pemimpin terlalu selesa dan melihat rakyat sebagai deposit yang selamat untuk mereka kekal berkuasa.
“Sebelum ini apabila pergi bercakap dekat kawasan bandar dan separa bandar, kita akan angkat sistem meritokrasi, kepelbagaian, hapuskan sistem diskriminasi tetapi apabila sudah ada di puncak kuasa dilupakan segala janji.
“Selepas pilihan raya, terbantut reformasi kerana mereka lihat pengundi sebagai deposit selamat mereka, ini budayanya. Ia adalah kerusi rakyat,” katanya dalam sidang media khas pengumuman calon Muda hari ini.
Muda pada hari ini mengumum calon pertama mereka yang akan dipertaruhkan di Terengganu iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang akan diwakili oleh Ketua Penerangannya, Luqman Long yang bakal bertempur dengan penyandang sebelum ini daripada Pas, Ahmad Shah Muhamed.
Calon pertama di Pulau Pinang pula, Muda mempertaruhkan Priyankaa Loh di DUN Pantai Jerejak yang bakal menyaksikan pertembungan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai penyandang.
Muda turut mengumumkan empat calon lain untuk PRN di Selangor iaitu di DUN Dusun Tua, Kuala Kubu Bharu, Seri Setia dan Sungai Kandis serta ini menandakan parti tersebut menghantar lapan calon untuk merebut kerusi di negeri di bawah pemerintahan PH.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian Muda sekiranya kerajaan negeri tergantung selepas PRN, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, mereka akan bekerjasama dengan gabungan yang menepati pendirian dan hala tuju parti.
Jelasnya, Muda tidak mahu menjatuhkan mana-mana kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri.
“Keutamaan Muda adalah untuk jadi suara semak dan imbang, soal kerjasama jika ada apa-apa masalah pendirian, Muda tidak berubah. Kita ingin bekerja dengan mereka yang akan membawa pembaharuan dari sudut dasar, mengangkat politik berbilang bangsa, agama dan moderat,” katanya.
Untuk rekod, PRN bakal diadakan di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Ia melibatkan 9,773,571 pemilih di enam negeri tersebut mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.-UTUSAN