SEREMBAN: Kementerian Pertahanan akan memperluaskan Program Jualan Agro Madani ke kem-kem tentera di seluruh negara bagi membantu keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membeli barangan keperluan dengan harga yang rendah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini pelaksanaan program berkenaan telah dilaksanakan di Kem Si Rusa, Port Dickson dan dijadikan sebagai program bulanan iaitu pada setiap hari Sabtu minggu ketiga setiap bulan.
Menurutnya, program dengan kerjasama pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu kini diteruskan di Kem Rasah dan seterusnya di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.
“Program Jualan Agro Madani amat baik sekali, enam ekor ikan selar hanya RM5. Minyak masak satu peket RM2 dan sayur satu bakul dan ayam seekor pula RM10.
“Program ini akan dapat membantu anggota keluarga tentera meringankan bebanan kos sara hidup yang tinggi, inilah hasrat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Jualan Agro Madani anjuran FAMA dan Markas 1 Briged Infantri Malaysia di Kem Rasah, di sini, hari ini.-UTUSAN.