SEREMBAN: UMNO tidak sesekali berkecil hati berikutan tindakan beberapa bekas ahli parti itu yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi di bawah tiket parti lain mahupun Bebas.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya tidak menghalang proses demokrasi dan semua individu berpeluang menjadi calon.
“Kami tidak halang demokrasi, dulu dia (calon) BN, dulu dia UMNO, dulu dia DAP, dalam pilihan raya ni bayar RM5,000 boleh lah jadi calon, calon Bebas, calon mana-mana.
“Kita mengamalkan asas demokrasi yang baik di negara ini dan tidak menyekat sesiapa untuk menjadi calon.
“Kepada mereka-mereka yang dulunya UMNO dan sekarang masuk parti lain, saya ucapkan selamat maju jaya” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Agro Madani di Kem Rasah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan, tidak mempunyai hak untuk memberi komen mengenai calon yang ditampilkan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN di enam buah negeri kali ini.
Menurut calon BN bagi DUN Rantau itu, beliau hanya menjaga calon-calon BN dan UMNO sahaja yang menurutnya sudah melalui beberapa siri tapisan serta sudah diharmonikan di peringkat bahagian sebelum diumumkan sebagai calon.-UTUSAN.