KOTA BHARU: Senarai nama calon Pas Kelantan untuk pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos nanti yang tersebar sejak semalam adalah palsu.
Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu boleh berlaku sebaik sahaja tarikh hari penamaan calon dan pengundian telah diumumkan.
“Saya sudah melihat sendiri senarai calon yang tersebar di media sosial itu dan boleh mengesahkan ia tidak betul dan merupakan senarai calon palsu.
“Senarai nama calon Pas untuk PRN nanti belum dimuktamadkan dan Majlis Syura Ulama akan bermesyuarat pada minggu ini untuk meneliti dan membuat tapisan syarie ke atas nama-nama yang disenaraikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Ceramah Mega Ppakat Pertahan: Pas Pilihanku di Pasir Tumbuh, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, kelayakan syarie ditetapkan adalah tidak melakukan dosa-dosa besar, bukan individu yang boleh merosakkan nama baik Pas dan mampu menjalankan tanggungjawab serta amanah.
Katanya, Pas meminta setiap kawasan menyenaraikan sekurang-kurangnya dua nama di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun terdapat juga kawasan yang menyenaraikan tiga hingga lima nama calon.
“Majlis Syura Ulama hanya membuat tapisan syarie dan tidak membuat pemilihan calon. Kemudian nama-nama yang lulus tapisan syarie akan dihantar ke Jawatankuasa Pas Pusat.
“Di peringkat jawatankuasa pusat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan meneliti nama-nama berkenaan bersama pimpinan negeri bagi menentukan calon boleh menang di setiap kerusi DUN yang ditandingi,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu berkata, proses tapisan syarie dan pemilihan calon kali ini akan berlangsung lebih cepat dan boleh diselesaikan dalam masa seminggu atau dua minggu.-UTUSAN










