PRN: Rakyat tak lupa Langkah Sheraton - Utusan Malaysia

PRN: Rakyat tak lupa Langkah Sheraton

Juwairiya Zulkifli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak lupa Langkah Sheraton iaitu pengkhianatan pemimpin politik sehingga menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei 2018.

Gerakan pada Februa­ri 2020 itu antaranya didalangi bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga menjadi titik bermulanya ketidakstabilan ekonomi apabila pentadbiran PH tumbang sekelip mata.

Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang, Juwai­riya Zulkifli ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau optimis kemenangan akan berpihak kepadanya berikutan sentimen penolakan terhadap ‘sejarah hitam’ yang dilakukan Azmin.

“Saya percaya mereka tidak setuju dan tolak Langkah Sheraton kerana bukan soal politik masing-masing, tetapi menyebabkan kestabilan negara, kestabilan politik, ekonomi terjejas. Langkah Sheraton dicetuskan oleh Azmin.

“Jadi, Azmin bukan melihat dari sudut buruknya seorang individu itu, tetapi tindakan dia, implikasi negatif terhadap kehidupan rakyat, orang biasa kerana kestabilan negara yang berlaku ketika itu. Dan penolakan rakyat terhadap perbuatan itu masih terkesan sehingga hari ini kerana salah seorang dalangnya adalah Azmin Ali,” kata Timbalan Ketua Wanita PKR itu.

ORANG KUAT

Pada PRN 12 Ogos ini, Juwairiya yang juga Se­tiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan bertembung dengan Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan orang kuat PKR suatu ketika dahulu.

Untuk rekod, Langkah She­raton pada 24 Februari 2020 menyaksikan 11 ahli parlimen diketuai Azmin yang ketika itu mengalas jawatan Timbalan Presiden PKR keluar parti.

Tindakan itu menyusul apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada PH pada hari sama, menyebabkan gabungan yang menjadi kerajaan ketika itu hilang majoriti.

Dengan naratif tersebut, Juwairiya berkata, beliau tidak melihat pencalonannya di Hulu Klang untuk ‘membunuh’ karier politiknya sebaliknya segala pertimba­ngan sudah diambil kira pucuk pimpinan dan beliau bersedia menentang calon PN itu.

“Saya tidak gementar dengan saingan kali ini. Ia satu cabaran atas kepercayaan kepim­pinan atas kemampuan saya.

“Sudah pasti dengan sokongan dan kekuatan akar umbi, ia faktor kekuatan saya berhadapan de­ngan calon tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN