PRN: Radhi lawan Mahfuz bukan mahu tebus kalah PRU14

PRN: Radhi lawan Mahfuz bukan mahu tebus kalah PRU14

MAHFUZ Omar (kanan) bertembung kali kedua dengan Mohd. Radhi Mat Din (kiri) di DUN Alor Mengkudu pada PRN Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertembungan kali kedua antara calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radhi Mat Din dengan pencabarnya Pakatan Harapan (PH), Datuk Mahfuz Omar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu ibarat ‘perlawanan timbal balik’.

Ini kerana setelah kalah kepada Mahfuz di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohd. Radhi kali ini ditugaskan Pas untuk merampas kerusi DUN Alor Mengkudu yang disandang PH melalui Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut bekas kapten bola sepak Kedah itu, beliau yakin mampu menumbangkan Mahfuz pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini apabila melihat trend sokongan pengundi kepada PN dan Pas yang sudah banyak berubah.

“Kalau dilihat, kita amat yakin dengan perkembangan terkini dan saya sudah pusing di Alor Mengkudu dan me­nerima sambutan baik.

“Tambahan pula dengan suasana gelombang hari ini dan kita amat yakin bahawa PN akan memenangi DUN Alor Mengkudu, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui semalam.

Mengulas lanjut, beliau menafikan fokus utamanya adalah untuk menebus kekalahan di Pokok Sena sebaliknya ingin berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu.

“Ia bukan soal tebus kekalahan tapi saya rasa ini adalah pertandingan biasa, adat dalam pilihan raya dan insya-Allah kita bukan mahu me­nyalahkan siapa-siapa tetapi atas keyakinan kita PN hari ini berada di atas landasan tepat,” katanya.

Tambah beliau, setiap calon Pas dalam PN harus berusaha keras untuk menang di setiap kerusi masing-masing demi memastikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diangkat semula sebagai Menteri Besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN