KUALA LUMPUR: Ahli-ahli politik yang berkempen menggunakan isu agama dan kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh menjejaskan ekonomi negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, program yang dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara tidak akan berjaya jika ahli-ahli politik terus meracuni pemikiran rakyat dengan pelbagai perkara dan persepsi negatif.
Menurutnya, jika semua pihak mahukan keadaan dalam negara yang lebih baik, pembangkang juga perlu mengemukakan idea-idea yang bernas dan dari situ, rakyat akan membuat penilaian.
“Ahli-ahli politik sepatutnya berkempen dengan menyentuh hal-hal melibatkan kebajikan rakyat seperti isu kos sara hidup dan cara untuk mengawalnya.
“Tetapi melihat kepada trend sekarang, pembunuhan karakter seseorang terlalu kuat dimainkan dan ia boleh mempengaruhi pemikiran pengundi. Itu jalan singkat, tetapi memang tidak sihat untuk negara kita.
“Selain itu, isu perkauman yang sekarang ini tengah hangat tentang isu tokong dan sebagainya, ia akan menarik kepada perkara yang berbaur kepada perkauman,” katanya ketika dihubungi, semalam.
PROGRAM
Mazlan berkata, kerajaan perpaduan pula perlu membuktikan setiap program yang dilaksanakan memang berjaya dan bukan sekadar ‘cakap kosong’.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Jamaie Hamil berkata, kerajaan perlu bertindak lebih agresif dalam memberi penerangan kepada rakyat tentang usaha yang sedang dilakukan untuk menambah baik isu kos sara hidup khususnya yang kini menjadi ‘senjata’ oleh pihak pembangkang.
“Dalam PRN memang begitulah situasinya, parti-parti pembangkang terutamanya akan terus menyerang kerajaan dalam isu yang mereka lihat boleh beri kelebihan kepada mereka. Untuk menyerang sangat mudah, ia satu strategi pembangkang.
“Jadi dalam konteks negara kita, serangan pembangkang sekarang adalah kerajaan gagal tangani kos sara hidup. Jadi kerajaan perlu ada usaha dan kita tahu ia sedang dilakukan, kerana yang paling penting adalah rakyat di semua lapisan tidak mahu tahu tahu perkara selain daripada kos sara hidup yang semakin menekan,” kata beliau.
Bagaimanapun, kata Jamaie, untuk menguruskan kos sara hidup, perkara itu tidak boleh diselesaikan dalam waktu terdekat dan bukan mudah.
“Isu kos sara hidup, banyak pemimpin dunia tumbang kerana gagal menyelesaikan kos sara hidup.
“Jadi, bagaimana kerajaan nak tangani persoalan itu, ia perlu diadakan dengan lebih agresif,” ujarnya lagi. – UTUSAN











