PRN: Calon BN diingatkan berhenti sementara berikan 'sedekah jariah' - Utusan Malaysia

PRN: Calon BN diingatkan berhenti sementara berikan ‘sedekah jariah’

MOHAMAD Hasan sewaktu berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesemua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di 108 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam buah negeri diingatkan untuk hentikan sementara ‘amal jariah’ mereka sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu bagi mengelakkan timbulnya apa-apa isu terutamanya dalam mempersoalkan keputusan pilihan raya kelak.

“Saya menasihatkan calon-calon termasuk diri saya sendiri sebagai calon, kadang-kadang kami ahli politik memang banyak orang minta pertolongan, sudah jadi kebiasaan, terutama calon sedia ada, kami memang selalu ditengah jalan orang minta pertolongan, secara automatik kami beri, itulah kehidupan sebagai seorang wakil rakyat.

“Saya telah ingatkan rakan-rakan calon, dalam masa 14 hari ini, kita lupakan dulu amal jariah dan sedekah kita, supaya ia tidak dijadikan sebagai isu oleh sesiapa, senjata atau peluru untuk ‘menembak’ kita ataupun untuk mempersoalkan nanti keputusan pilihan raya, terpaksa dibawa kepada perbicaraan dan sebabkan banyak hal tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon BN PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

BN akan bertanding di 17 buah kerusi DUN di Negeri Sembilan daripada keseluruhan 36 buah kerusi di negeri. Mohamad akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Rantau yang telah dimenanginya sejak 2004 manakala Jalaluddin akan bertanding di DUN Pertang.

MOHAMAD Hasan dan Jalaluddin (tengah) bersama calon-calon BN pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam pada itu menambah, kesemua calon juga diingatkan untuk tidak membuat kenyataan termasuk kepada media berhubung isu-isu yang berlaku khususnya melibatkan parti.

Jelas beliau, sebarang isu mengenai parti biarlah kepemimpinan yang mengeluarkan kenyataan.

“Kadangkala dalam kita bersemangat berkempen di kawasan, akan ada yang bertanya, pemberita, media bertanya soalan-soalan yang kadang kala berkenaan isu parti.

“Saya nasihatkan calon, jika pasal parti biarlah pimpinan parti yang buat kenyataan, isu-isu tidak perlulah komen, apa-apa isu, cuma beritahu bekerja kuat dan minta supaya pengundi berikan kepercayaan kepada kita untuk kita jadi wakil kepada mereka selepas pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN memberitahu, BN menghadapi suasana PRN kali ini dalam keadaan yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu iaitu khususnya dalam hal calon yang ditampilkan.

“Suasana PRN di Negeri Sembilan ini adalah baik bagi kami, kerana penerimaan terhadap calon-calon yang telahpun dimanakan dan dicadangkan oleh parti. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO telah bersama memurnikan nama calon-calon bersama kepemimpinan bahagian masing-masing dan dibawa ke ibu pejabat.

“Kami dapati calon-calon tersebut mempunyai kewibawaan yang baik untuk kita menaruh harapan di kerusi masing-masing. Ibu pejabat telah buat saringan yang ketat, keselamatan jadi kesemuanya telah pun lulus dan tiada isu yang dibangkitkan dan akan dijadikan senjata oleh orang-orang yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya