SEREMBAN: Kegiatan ‘Geng Casa’ yang dikesan aktif melakukan samun bersenjatakan parang di sekitar Negeri Sembilan melibatkan kerugian sebanyak RM550,000 tumpas dengan penahanan lapan suspek baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kesemua suspek lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 36 tahun itu ditahan di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor dalam Op Casa yang dilancarkan pihak polis bermula 1 hingga 8 Julai lalu.
“Sejak kebelakangan ini telah berlaku kejadian samun yang dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki di daerah Seremban, Nilai, Jempol dan Kuala Pilah.
“Kumpulan ini aktif sejak awal tahun lalu dan amat agresif menggunakan senjata dengan kebanyakan mangsa diikat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, modus operandi kumpulan tersebut adalah menyasarkan rumah teres yang mudah dipecah masuk pada waktu malam atau awal pagi dengan cara melompat pintu pagar.
“Kumpulan ini akan berpakaian gelap, bersenjatakan parang, bersarung tangan, menutup muka dengan topeng ‘ski mask’ bagi mengelak cap jari dikesan dan muka dicam mangsa.
“Hasil semakan mendapati lima daripada lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kes samun, curi, khianat, mencederakan mangsa, ugutan jenayah dan merusuh menggunakan senjata tajam,” katanya.
Difahamkan, Geng Casa itu juga bertindak melarikan pelbagai barangan yang disamun menggunakan kenderaan milik mangsa dan kemudian dibakar bagi menghapuskan bukti.
Ahmad Dzaffir berkata, dalam tangkapan tersebut, pihak polis telah berjaya merampas barang-barang seperti dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Honda, dua rangka kenderaan yang telah dibakar jenis Toyota Estima dan Proton Wira, lapan telefon bimbit, sebuah peti besi, barang kemas dan wang tunai pelbagai mata wang.
“Dengan kejayaan ini, polis IPK Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan 14 kes samun dilakukan kumpulan tersebut yang mana 10 kes di negeri ini, tiga kes di Selangor dan dua kes di Perak melibatkan kerugian RM550,000.
“Kesemua suspek telah direman lima hari bermula 7 Julai hingga 11 Julai depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkumpulan dengan senjata,” katanya.
Tambah Ahmad Dzaffir, sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua individu A.Yuges, 21 dan S. Manimaran, 26, yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun untuk menghubungi Inspektor Alice Kuba di talian 06-4842222 atau Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah.
Sementara itu, Ahmad Dzaffir berkata, dalam kes berasingan, pihak polis berjaya menyelesaikan kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Kuala Pilah serta Jempol dengan tertangkapnya dua suspek lelaki semalam.
“Tangkapan dua suspek berusia 25 dan 29 tahun itu dilakukan sekitar Kuala Pilah dan Jempol pada 7 hingga 9 Julai lalu yang mana mereka mempunyai rekod jenayah bagi kes curi motosikal dan dadah.
“Modus operandi suspek ialah dengan bertindak mengait wang di dalam tabung masjid dan juga memotong mangga tabung tersebut menggunakan pemotong,” katanya.
Jelas Ahmad Dzaffir, kedua-dua suspek tiada hubungan dan melakukan jenayah secara individu dengan memecah masuk masjid atau surau pada tengah malam atau awal pagi.
“Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah tabung masjid dan surau di Kuala Pilah dan dua kes di Jempol melibatkan kerugian RM4,000.
“Antara barang yang dirampas termasuk sebuah kereta Proton Iswara Aeroback, sebuah beg galas warna hitam, pemotong besi, pemotong paip, pemutar skru, dawai besi dan dua anak kunci,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah direman empat hari bermula hari ini hingga 13 Julai depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk masjid dan surau.-UTUSAN.










