AMPANG JAYA: Polis menahan tiga pemilik motosikal selepas didapati melakukan pengubahsuaian pada struktur asal kenderaan mereka dalam Operasi Khas Motosikal dan Operasi Samseng Jalanan di sekitar kawasan bukit Ampang Saujana di sini.
Penahanan itu dilakukan menerusi operasi kira-kira pukul 12 tengah malam dan berakhir lebih kurang pukul 3.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, penunggang bersama-sama dengan kenderaan yang ditahan dan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk proses dokumentasi serta panggil pemilik.
“Kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Sek. 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, dalam operasi berkenaan, sebanyak 15 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, ubah suai struktur kenderaan, kesalahan nombor pendaftaran dan juga lain-lain kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian berlebihan pada mana-mana struktur asal kenderaan.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan demi membanteras pesalah-pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN