Pokok nipah tumbang tidak dibersihkan

Pokok nipah tumbang tidak dibersihkan jadi perangkap sampah

MOHD. Radzi Shamsudin menunjukkan sampah sarap yang memenuhi Sungai Pasir selepas beberapa batang pokok nipah yang tumbang tersangkut di titi Kampung Titi Pokok Machang di Sungai Petani. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk Kampung Titi Pokok Machang dan Charok Kelubi di sini merayu pihak berkuasa tempatan membersihkan pokok kelapa nipah yang tersangkut di titi Sungai Pasir sejak sebulan lalu yang menjadi perangkap sampah hingga mengganggu aliran air.

Kata penduduk, sekiranya terus terbiar lama tidak mustahil akan berlaku banjir kilat selain beberapa buah rumah mereka di sepanjang sungai itu akan dimasuki air.

Penduduk Kampung Titi Pokok Machang, Indera Mat Yatim, 53, berkata, beberapa batang pokok nipah di tebing sungai itu dipercayai tumbang akibat hakisan sebelum dibawa arus dan tersangkut di titi.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku gangguan aliran air untuk terus ke laut dan berbahaya kerana dikhuatiri boleh terjadinya banjir kilat terutamanya jika hujan lebat berterusan.

“Kedudukan pokok nipah yang tersangkut di bawah titi sepanjang hampir 10 meter itu menyebabkan sampah sarap turut terperangkap menjadikan air sungai kotor dan berbau busuk,” katanya.

Penduduk Kampung Charok Kelubi, Mohd. Radzi Shamsudin, 66, berkata, titi yang menyambungkan dua kampung itu sepatutnya sentiasa diselenggara kerana ia digunakan sebagai laluan utama penduduk ke pekan Sungai Petani atau Batu Lintang di Tikam Batu.

“Kawasan penempatan membabitkan dua kampung kami ini jarang terkesan dengan banjir kilat kerana aliran air sentiasa mengalir dengan sempurna.

“Kini kami mula bimbang kerana air sungai itu semakin banyak selepas laluannya tersekat dengan pokok nipah berkenaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang tinggal berdekatan titi itu, Bokhari Abdullah, 68, berkata, pokok nipah yang tersangkut itu perlu dibersihkan segera kerana didapati sampah sarap semakin banyak terperangkap di situ.

“Selain air sungai ini telah bertukar warna, bau busuk sampah yang terendam lama juga mengganggu aktiviti seharian saya sekeluarga.

“Lebih membimbangkan apabila keadaan cuaca tidak menentu sekarang yang boleh menyebabkan sungai tidak dapat berfungsi dengan sempurna sebagai laluan air dan tindakan segera perlu diambil pihak berkuasa untuk membersihkannya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN