PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat bagi menentukan hala tuju baharu ekonomi negara demi menjamin masa depan rakyat lebih baik.
Pelancaran tersebut dijadual diadakan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di ibu negara pada pukul 9 pagi ini.
Berkongsikan perkara itu di Facebook, Perdana Menteri berkata, dasar tersebut adalah hala tuju baharu kerajaan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang.
“Esok saya akan meluncurkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang merupakan pengemudian dan pengarahan baharu ekonomi untuk menjamin masa depan negara. Nantikan, insya-Allah,” kata Anwar.
Pada 12 Jun, Anwar mengumumkan kerajaan akan melancarkan naratif ekonomi Madani menjelang Ogos bagi menentukan hala tuju ekonomi negara yang lebih jelas.
Menurut beliau, naratif itu penting bagi memudahkan pelan tindakan pelaksanaan dasar di peringkat kementerian dan jabatan-jabatan berkaitan.
“Kita cuba meluncurkan naratif ekonomi Madani menjelang Ogos depan. Sementara itu, beberapa dasar segera yang terpaksa dilaksanakan akan diteruskan,” kata Perdana Menteri ketika itu.
Antara lain, naratif itu akan menjadi kerangka besar dan umum kepada nadi ekonomi negara dan akan dijelaskan kepada rakyat secara berperingkat.
Sebelum itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dilapor berkata, bank pusat itu mengekalkan unjuran untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.
Abdul Rasheed berkata, permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dan pasaran kerja kini semakin baik, seterusnya menyokong perbelanjaan pengguna. – UTUSAN










