PM hormati MCA, MIC tidak bertanding PRN

PM hormati MCA, MIC tidak bertanding PRN

ANWAR Ibrahim bergambar bersama sebahagian tetamu yang hadir selepas merasmikan "International Social Wellbeing Conference (ISWC)" serta melancarkan aplikasi KWSP I-Akaun di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, namun kedua-dua parti itu tetap kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata, beliau menghargai pendirian dan semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua parti itu di sebalik perebutan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di enam buah negeri.

“Kedua-dua presiden MIC dan MCA ada hubungi saya dan menyatakan bahawa di peringkat ini (PRN), mereka tidak akan bertanding.

“Tapi mereka akan beri sokongan dan saya fikir itu tentu dalam ruang kuasa mereka, tapi saya ucap terima kasih kerana kesudian mereka membantu dan masih mempertahankan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023).

Beliau mengulas mengenai MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Dalam pada itu, Anwar menganggap pertemuan antara dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai sekadar satu usaha untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.

“Ia bukan perkara baharu, kita tahu bahawa kelompok itu akan tetap bersekongkol untuk mempertahankan cara mereka dan karakter mereka, kita pula bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara dan rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN