KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menunggu permohonan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur untuk mengesan suami kepada pelakon Fatin Afeefa atau dikenali sebagai Opai bagi membantu siasat berhubung penggunaan nombor pendaftaran `kenderaan QPA1’.
Difahamkan, Opai belum hadir ke Pejabat JPJ untuk dirakam keterangan berhubung nombor pendaftaran bukan didaftarkan di atas kereta McLaren miliknya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Erick Jusiang, secara lisan mengenai perkara itu, baru-baru ini.
“Beliau (Erick) ada memaklumkan perkara itu kepada saya, namun setakat ini, belum ada permohonan rasmi.
“Apabila kita sudah menerima permohonan itu, pihak polis akan memanggil individu berkenaan bagi membantu siasatan,” kata beliau ketika ditemui selepas mengetuai Op Hormat Undang-Undang Jalanraya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan JPJ akan meminta bantuan polis bagi mengesan Opai yang tidak hadir ke pejabat JPJ walaupun selepas tempoh 14 hari notis panggilan temu siasat diserahkan.
Erick berkata, individu terbabit masih berada di Kuala Lumpur dan dianggap seperti mencabar JPJ kerana tidak datang untuk dirakam percakapan.
Sebelum ini, Opai dikecam teruk selepas videonya didakwa menghina kenderaan bukan ‘supercar’ pada sebuah acara pertunjukan kereta yang tular di media sosial.
Bagaimanapun, JPJ Kuala Lumpur menggesa pemilik kenderaan mewah McLaren yang tular berkenaan tampil membuat laporan. – UTUSAN