ALOR SETAR: Industri padi di Kedah dibelenggu kartel yang mengikat pesawah di semua peringkat sehingga tuaian setiap musim berbaki RM1,500 berbanding jualan sebenar RM5,000 bagi setiap hektar sawah diusahakan.
Kitaran tersebut diketahui semua pihak namun sehingga kini tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kartel yang mengikat pesawah.
Mendedahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kartel menguasai semua peringkat berkaitan penanaman padi bermula dari membajak, baja, benih, racun, potongan dan timbangan padi.

“Golongan pesawah memang terikat kepada kartel yang mengatur semua urusan menanam padi.
“Kitaran tersebut yang menjadi punca industri padi dan beras di Kedah terus statik atau berada di takuk lama,” kata beliau baru-baru ini.
Justeru, pendedahan Sanusi itu tidak mengejutkan seperti dikongsi seorang petani bahawa pendapatan ‘masuk poket’ diraih setiap kali musim menuai hanya sekitar RM1,000 ke RM1,500 walaupun jualan keseluruhan pada musim berkenaan boleh mencecah sehingga RM5,000 sehektar.
HUTANG
Ini kerana RM3,500 lagi hasil jualan padi diguna untuk menjelaskan hutang-hutang pembelian benih, baja atau wang belanja yang didahulukan oleh orang tengah sebelum padi dituai
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, setiap tahun isu tersebut menjadi rungutan pelbagai pihak terutama pesawah, namun sehingga kini tidak ada pihak-pihak terlibat yang sanggup memerangi kartel yang mengawal input pertanian, timbangan padi di kilang serta jentera dan mesin pembajak yang digunakan pesawah.
“Semua orang tahu apa yang sedang terjadi dalam sektor padi, orang pekak dan buta saja yang tak dapat lihat dan dengar apa yang saya cakap.
“Bermula dengan sistem padi kunca iaitu hutang barang makanan dan duit dibayar dengan padi, bunga sampai berlipat kali ganda selepas menuai. (Ini berlaku sejak) zaman tok nenek kita dulu lagi dan berlarutan sampai sekarang, semuanya dikawal,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu berkata, walaupun terdapat usaha untuk menambah keluasan tanah sawah dan menggesa petani berubah sikap, kehidupan para petani tetap tidak akan berubah selagi terdapat kartel yang mengawal industri itu.
MAMPU
Kata beliau, jumlah pengeluaran hasil padi di negeri Kedah seolah-olah sudah ditetapkan setiap tahun iaitu hanya enam tan metrik bagi setiap hektar, walaupun para petani mampu menghasilkan padi sehingga lapan tan metrik sehektar atau lebih.
“Padi bagi kawasan negeri Kedah, sehektar akan keluar tak lebih enam tan walaupun sebenarnya boleh capai tujuh ke lapan tan. Tapi, berat kita hanya capai enam tan, sudah ‘diset’ jumlah itu yang kuncinya dipegang kartel.
“Selain itu, isu melibatkan bekalan air, potongan basah, kualiti padi, masalah padi rebah, bendang jerlus, padi tumpah daripada mesin sehingga 20 peratus dan macam-macam hal lagi turut menyumbang kepada faktor industri ini tidak dapat ditingkatkan sejak sekian lama.
“Bagi tau pihak yang nafi (isu kartel) itu hampa tok sah (mereka tak usah) bergantung kepada bilangan lesen dan pegawai-pegawai kawal selia saja, itu hanya satu bab dalam industri padi (tetapi) depa tu boleh ka pi tengok ketelusan dalam bekalan benih,” soalnya.
SENDIRI
Sedangkan kata beliau, model penanaman padi yang diusahakan sendiri oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sawah seluas kira-kira 30 hektar mampu mencapai hasil 7.8 tan sehektar ketika tuaian pertama sebelum ini.
Walhal Sanusi berkata, sawah yang diusahakan melalui program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) dengan bendang pesawah yang masih terikat sistem sedia ada hanya terletak bersebelahan antara satu sama lain di sesetengah kawasan tanaman padi.
“Itu bukti hidup, apabila keluar daripada lingkaran kartel, boleh capai (hasil yang lebih tinggi). Dua tiga pusingan (penanaman) lagi saya yakin LZNK boleh capai lebih 10 tan sehektar menggunakan model itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Fuad Yaacob berkata, tidak semua petani berurusan dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), sebaliknya selesa menggunakan kemudahan yang ada di lokaliti masing-masing.
“Sebenarnya ada orang tengah yang baik dan ada juga orang tengah yang mengambil kesempatan terhadap pesawah. Tetapi petani kini semakin cerdik dan sedar sehingga tidak berlaku lagi sawah tergadai seperti dahulu disebabkan faktor orang tengah.
“Memang orang tengah dalam industri padi wujud tetapi bukan semua menindas petani. Misalnya, ada yang dahulukan wang belanja kepada petani sehingga RM1,000 dan selepas terima hasil tuaian jumlah sama yang perlu dibayar semula tanpa ada caj tambahan atau bunga,” katanya.
Kata Mohd. Fuad, pendapatan petani yang tidak seberapa mendorong mereka untuk terus bergantung kepada khidmat orang tengah disebabkan keadaan yang terlalu terdesak sehingga menyebabkan kehidupan mereka tidak pernah meningkat.- UTUSAN









