PORT DICKSON: Pemimpin parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang dinasihatkan untuk berhati-hati dalam berucap atau berceramah serta mengelak daripada menyentuh berkaitan isu 3R (agama, bangsa, institusi diraja).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan berhati-hati tersebut perlu difahami memandangkan terdapat perkara yang tidak boleh ‘disentuh’ sesuka hati.
Menurut beliau, kes yang berlaku melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sewajarnya memberikan pengajaran kepada semua pihak dan tindakan serupa juga boleh dikenakan kepada mana-mana individu lain kerana undang-undang itu tidak mengira sama ada parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang.
“Ia (tindakan ke atas Sanusi) bukan disebabkan beliau menteri besar negeri pembangkang tetapi kerana kesilapan diri sendiri. Kalau kita lihat menteri besar pembangkang lain pun berucap hari-hari tapi mereka berhati-hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan Barisan Nasional UMNO Cawangan Seri Kemang, di sini, hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap dua pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lalu.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Simpang Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara di Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu. Kes akan disebut semula pada 4 Oktober ini.
Dalam pada itu, Ahmad turut memberitahu, sekiranya pemimpin pembangkang ingin membuat kritikan, elaklah daripada menyentuh isu 3R.
“Kalau mahu kritik tidak bagus beri Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh lah. Nak kritik Perdana Menteri, nak kritik saya tadak jadi hal sebab kita boleh lawan hujah dengan hujah, fakta dengan fakta, data dengan data, tidak perlu perlekeh, hina beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahmad turut mengesahkan ada menerima jemputan pada 21 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) berkenaan pengumuman nama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.-UTUSAN.