KOTA TINGGI: Seorang pekebun sempat memeluk dan mencium isterinya sebelum kedua-duanya menangis selepas lelaki itu dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan satu sebatan kerana merompak seorang warga emas awal bulan ini.
Tertuduh, Nazry Mohamad Mokhtar, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa merompak seutas gelang tangan emas milik Rahmah Md. Johan, 60, di sebuah rumah di Felda Air Tawar 4, pukul 12.40 tengah hari 2 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat susulan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh yang melibatkan kecederaan terhadap mangsa.
Malah, katanya, tertuduh juga membawa sebilah parang ketika kejadian menyebabkan trauma kepada mangsa dan menimbulkan keresahan dan mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
Walau bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hilmi Sulaiman Salahuddin meminta mahkamah meringankan hukuman ekoran tertuduh hanya bekerja kebun dan bergaji RM1,500 sebulan bagi menyara isteri dan anak-anaknya yang masih kecil berusia tiga hingga sembilan tahun serta menjaga ibu bapanya.
Hayda Faridzal kemudian menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan satu sebatan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap.
Baru-baru ini melaporkan seorang wanita cedera pada bahagian dagunya selepas dilibas dengan sebilah parang dalam kejadian samun di rumahnya Felda Air Tawar 4 pada 2 Julai lalu. – UTUSAN