‘Orang kepercayaan' lawan Anthony Loke di DUN Chennah - Utusan Malaysia

‘Orang kepercayaan’ lawan Anthony Loke di DUN Chennah

ANTHONY Loke Siew Fook bakal menerima saingan Rosmadi bagi merebut kerusi DUN Chennah pada PRN kelak-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Terdapat kisah yang menarik bagi pertembungan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ia melibatkan hubungan di antara penyandang kerusi berkenaan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan lawannya dari Perikatan Nasional (PN) iaitu Rosmadi Arif, 52.

Rosmadi merupakan ketua kampung ataupun Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) bagi Kampung Chennah dan Siew Fook sendirilah yang sebelum ini memberikan kepercayaan kepada Rosmadi untuk memikul jawatan itu.

Berkata kepada Utusan Malaysia, Rosmadi menyifatkan hubungannya dengan Siew Fook adalah ‘sangat rapat’ kerana saling bekerjasama dalam memastikan isu dan masalah yang dihadapi penduduk di DUN Chennah dapat diselesaikan.

Menteri Pengangkutan itu juga sebelum ini malahan pernah menganggap Rosmadi sebagai wira kampung selepas menggadai nyawa dengan menyelamatkan kira-kira 70 orang mangsa dalam kejadian banjir besar yang berlaku di daerah Jelebu pada bulan Disember 2021.

“Hubungan di antara saya dan Loke (Anthony Loke Siew Fook) sangat rapat. Beliau juga sebelum ini telah memberi kepercayaan kepada saya menjadi ketua kampung.

“Beliau tidak pernah membezakan hal parti dan hal kampung kerana Loke tahu saya dari parti lain (Bersatu). Beliau memberitahu mentadbir adalah mentadbir dan beliau minta saya menjadi Pengerusi MPKK di Kampung Chennah,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam mengumumkan Rosmadi sebagai calon PN di kerusi DUN Chennah.

Sementara itu, Rosmadi berkata, dia yakin dapat memberikan saingan sengit malah kejutan di kerusi DUN Chennah walaupun saingannya itu merupakan nama yang cukup besar dalam arena politik negara.

“Saya melawan seorang yang mempunyai nama besar dalam bidang politik ini jadi saya perlu bekerja lebih keras. Saya akan berikan saingan sengit dengan bantuan daripada jentera PN,” katanya yang fasih bertutur dalam dialek suku Temuan (Orang Asli).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Siew Fook menang di kerusi DUN Chennah dengan majoriti 1,155 undi dan menewaskan dua pencabar lain.

Terdapat seramai 14,554 pengundi di DUN Chennah yang melibatkan sebanyak 50 buah kampung termasuk perkampungan Orang Asli.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya