GUA MUSANG: Selepas berputih mata apabila tanaman pisang dimusnahkan gajah, seorang lelaki Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Redip, Pos Hau di sini kembali bangkit menjana pendapatan dengan menjual ibu keledek menggunakan aplikasi Tiktok dan Facebook untuk menjual ubi keledek.
Razali Ayeh, 48, berkata, dia sama sekali tidak menyangka aplikasi media sosial itu memudahkan urusannya dalam memasarkan hasil tersebut.
“Saya mula menanam sebanyak 4,000 pokok keledek kuning dan ungu sejak tiga bulan lalu dan mengikut jangkaan dijangka sebanyak satu tan hasil dapat ditunai untu semusim. Peringkatnya awal, saya sudah menjual sebanyak 300 kilogram ubi keledek.
“Segala penat lelah seolah-oleh terbayar apabila permintaan memang tinggi daripada masyarakat Orang Asli. Ubi keledek ini saya pada harga RM5 untuk sekilogram. Kalau pelanggan beli lebih daripada 10 kilogram, ubi keledek ini akan dijual pada RM4 sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Razali memberitahu, tindakan menyertai kursus pertanian anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Pertanian sejurus berdepan kemusnahan kebunnya mengubah hidupnya apabila hasil ubi kayu keledek sebagai antara punca pendapatannya.
Katanya, tahun lalu pihak Jakoa telah menjemputnya menyertai kursus pertanian berasaskan tanaman keledek di pejabat Jabatan Pertanian Besut, Terengganu.
“Daripada situlah saya dapat bantuan dan input pertanian lain untuk saya teruskan tanaman keledek. Bermula dari situ saya mengusahakan tanaman di kawasan seluas 0.4 hektar. Selepas dua bulan lebih saya usahakan tanaman keledek sudah mengeluarkan hasil,” ujarnya.
Razali berkata, sebelum ini dia sering berdepan dengan kegagalan apabila kebun pisang yang diusahakan sejak tahun 2018 dimusnahkan gajah liar.
“Saya tak mudah patah semangat dan akibat daripada tu saya mula memikirkan macam mana nak ubah cara hidup. Kerana desakan hidup saya nak juga berubah dan ekoran daripada latihan yang saya terima dari pihak Jakoa saya berjaya menceburi tanaman kontan termasuk ubi keledek,” katanya. -UTUSAN