Op Tapis : 4,718 individu termasuk tokan, individu dikehendaki di

Op Tapis: 4,718 individu termasuk tokan, individu dikehendaki di tahan JSJN 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,718 individu melibatkan tokan, penagih dan orang dikehendaki ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menerusi Op Tapis Khas di seluruh negara pada 10 Julai hingga semalam.

Sepanjang tempoh sama, pelbagai jenis dadah bernilai RM553,927 dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, menerusi operasi itu, pihaknya merampas 202.57 kilogram (kg dan 2,789.96 liter pelbagai jenis dadah.

Kata beliau, antara dadah yang dirampas ialah heroin, syabu, ketamin, ganja, pil eramin 5, pil Yaba (pil kuda), ekstasi, daun ketum, pil psikotropik, air ketum, kodein dan candu.

“Dalam operasi ini, sebanyak 1,258 pemeriksaan dilakukan di kawasan Felda, Projek Perumahan Rakyat (PPR); jeti; ladang swasta dan pengkalan haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd Kamarudin, jumlah yang ditahan ialah 655 tokan dadah: Penagih (2,272); orang dikehendaki (249) dan lain-lain kesalahan sebanyak 1,542 orang.

Kata beliau, operasi khas ini bertujuan untuk mengesan dan menangkap tokan dadah di sekatan jalan raya, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar, mengesan dan menangkap orang yang dikehendaki dan mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang dikenal pasti.

“Semua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B; Seksyen 39A(2); Seksyen 39A(1); Seksyen 39C; Seksyen 12(2) ; Seksyen 6 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, tangkapan juga dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1953; Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985; dan  Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JSJN turut menyita pelbagai aset seperti wang tunai dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM418,160.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, sepanjang Op Tapis Khas 1 sehingga Op Tapis Khas 3 yang dijalankan sejak Januari lalu, pihaknya merampas dadah berjumlah RM22.1 juta.

“Menerusi operasi yang dijalankan, seramai 12,639 individu sudah ditahan membabitkan pelbagai kesalahan dadah dengan jumlah rampasan sebanyak 2,304 kg dan 3,967 liter dadah.

“Polis khususnya JSJN terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah,”ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN