Op Kesan: Perkeso Negeri Sembilan keluarkan 24 kompaun - Utusan Malaysia

Op Kesan: Perkeso Negeri Sembilan keluarkan 24 kompaun

NUR Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir bersama kakitangan Perkeso Negeri Sembilan ketika melaksanakan aktiviti penguatkuasaan Op Kesan di premis perniagaan di Taman Indah, Tampin, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan telah mengeluarkan sebanyak 24 notis kompaun bagi penguatkuasaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) hasil pemeriksaan ke atas 153 premis majikan menerusi Op Kesan yang dijalankan sejak kelmarin.

Pengarahnya, Nur Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, serentak dengan pelancaran di peringkat kebangsaan, pihaknya telah melaksanakan operasi berkenaan di kawasan Bandar Enstek, Nilai di sini dan diikuti di daerah Tampin.

Ia bagi memastikan setiap pekerja mendapat perlindungan keselamatan sosial atau orang tanggungan sekiranya ditimpa sebarang musibah seperti kemalangan, penyakit atau kematian.

Menurutnya, sebanyak 17 notis kompaun di keluarkan Akta 4 manakala tujuh notis kompaun bagi penguatkuasaan Akta 800 melibatkan nilai sebanyak RM29,000.

“Berdasarkan rekod pendaftaran Perkeso, sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 43,020 majikan aktif telah berdaftar dengan Perkeso yang meliputi kira-kira 232,066 pekerja aktif di bawah perlindungan Perkeso dan 13,500 pekerja asing di negeri ini.

“Kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan. 

“Jumlah kompaun yang boleh dikenakan bagi setiap kesalahan yang dilakukan boleh mencecah sehingga RM5,000,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Op Kesan kali ke-14 di premis perniagaan di Taman Indah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nur Muhammad Bakhtir memberitahu, Op Kesan berkenaa bertujuan memastikan majikan mematuhi Akta 4 dan Akta 800 untuk perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja yang layak di bawah akta-akta tersebut. 

“Sebelum ini, Perkeso telah memberi peluang kepada majikan selama dua bulan tempoh pemutihan dari 1 Mei hingga 30 Jun lalu untuk mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja mereka secara sukarela tanpa sebarang tindakan penalti atau kompaun. 

“Semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 (Akta 800). 

“Kegagalan mendaftar perusahaan dan pekerja adalah kesalahan di bawah Akta 4 dan Akta 800 dan boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM5,000 dan jika disabitkan kesalahan, boleh mengakibatkan pemilik perusahaan tersebut dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya