PETALING JAYA: Beberapa lagi individu termasuk orang kenamaan (VIP) berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran penahanan tiga individu termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk menerusi Op 82S, Isnin lalu.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, satu sumber berkata, sehingga semalam, sebanyak RM38.2 juta wang di dalam beberapa akaun milik Datuk berkenaan dibekukan.
Selain itu, kata sumber, kira-kira tiga premis kedai emas disyaki milik Datuk itu juga diserbu dalam operasi sama.
“Kira-kira 24 orang saksi telah dirakam percakapan selain telefon bimbit dan jam tangan mewah milik ahli perniagaan itu turut dirampas.
“Jumlah keseluruhan aset dirampas membabitkan nilai RM 211 juta,” kata sumber semalam.
Kata sumber itu lagi, Datuk berkenaan turut dikesan tidak bayar cukai puluhan juta ringgit setahun hasil perniagaan eksport dan import tembakau selain disyaki terlibat dalam penyeludupan bahan-bahan terlarang.
Datuk itu kemudian disyaki membuka beberapa rangkaian perniagaan di bawah satu syarikat sejak 2020 bagi ‘membersihkan’ hasil yang diperoleh melalui cara meragukan.
Sumber berkata, antara perniagaan DIBUAT menerbitkan filem, perniagaan emas dan pengurup wang (money changer).
“Ahli perniagaan ITU dipercayai ‘melabur’ dengan membawa artis terkenal luar negara dengan tujuan mempromosi perniagaannya.
“Selain itu, dia juga menggunakan pengurup wang sebagai platform untuknya membuat lapisan (layering) hasil daripada aktiviti haram itu,” jelasnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, tiga individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan menerusi operasi khas Op 82S Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia-Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai SPRM di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor pada Isnin lalu.
Sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM38 juta dirampas selain emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga telah disita.
Difahamkan, ahli perniagaan berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan. – UTUSAN











