Nik Omar tidak tanding PRN, beri laluan calon lain

Nik Omar tidak tanding PRN, beri laluan calon lain

NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas dua kali kecundang dalam pilihan raya, Nik Omar Nik Abdul Aziz mengambil keputusan tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu selesa memberi laluan kepada orang lain sekalipun kini telah menjadi penduduk Selangor iaitu kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Beliau berasa masih belum sesuai diberikan tempat dalam politik di negeri itu, apatah lagi bagi memperoleh tiket bertanding yang mengikut ramalan sangat cerah dimenangi oleh setiap calon PH.

“Masih baru berpindah ke Selangor. Yang keduanya, kita beri ruang kepada orang lain pula. Kita tengok bagaimana untuk pilihan raya yang akan datang.

“Kalau pihak Amanah ataupun PH yang beritahu tiada senarai, memang betullah itu,” katanya selepas melancarkan buku Ustaz Sulam: Sebuah Potret Ulama Kampung di sini malam semalam.

PH Kelantan sebelum ini dilaporkan tidak menyenaraikan Nik Omar dalam senarai utama cadangan calon PRN.

Berdasarkan rekod, semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan dan PRU Ke-15 di Parlimen Pasir Salak di Perak.

Beliau tewas kedua-dua pertandingan tersebut yang dimenangi oleh wakil Pas.

Nik Omar bagaimana menyerahkan segala keputusan kepada kepimpinan parti dan sedia menyertai jentera PH bersama sekutu untuk menghadapi enam PRN yang akan berlangsung pada 12 Ogos nanti.

Beliau juga menilai parti gabungan Kerajaan Perpaduan mungkin berpeluang memenangi Kedah serta berupaya menambah kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Ditanya mengenai isu membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Nik Omar menganggap apa yang berlaku adalah hikmah supaya lebih berhati-hati dalam melontarkan pandangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×